Monday, August 10, 2009

Ikhlas atau sebaliknya

Salam,

Dunia adalah ladang ke akhirat. Dunia tempat manusia diuji siapa yang terbaik amalannya. Semoga ladang kita bersih daripada lalang-lalang panjang yang tumbuh meliar yang merupakan ego kita yang sekiranya tidak dipotong selalu maka menutup pandangan hati kita yang tulus. Lalang yang tebal mengundang kehadiran binatang yang buas. Tidak kira siapa kita. Apalagi bila selalu berdepan dengan manusia yang lain. Beruntungnya kalau menjadi manusia yang sentiasa bermanfaat kepada manusia yang lain, namun muflis kita sekiranya segala kebaikan kita dipadamkan oleh maksiat dan ego kita kepada manusia yang lain.

Pernah mendengar tazkirah al-akh Ustaz Dr Asri, bekas mufti Perlis di dalam kolum beliau yang menyatakan :

Orang zahirnya beramal dengan amalan agama maka pada zahir dia beramal dengan amalan syurga. Namun kita tidak tahu niatnya : ikhlas atau riyak, atau tujuan tersembunyinya. Kita tidak tahu jiwanya : bongkak atau tawaduk, tauhid atau syirik. Dimana kesemua itu faktor yang mengheret seseorang ke neraka. Mungkin ada juga dosa dan kezalimannya terhadap insan lain sehingga Allah mengambil segala pahalanya sebagai gantian.

Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada sahabat baginda : "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis? Jawab mereka: Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta. Sabda baginda s.a.w.: "Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga pernah dia memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dia ke dalam neraka. (Riwayat Muslim).

Mohonlah keampunan Allah atas segala dosa kerana setiap anak Adam membuat kesalahan, mohon ampun kesalahan kita dengan manusia ketika kita masih hidup dan maafkan kesalahan apalagi di kalangan mukmin yang merendah diri. Mari kita ke masjid untuk solat Zuhur.

Dipetik daripada tulisan Akhi Fakhrul

No comments:

Post a Comment